ALOR GAJAH – Rutin sebuah keluarga penternak lembu mengurus dan membungkus susu lembu bertukar mimpi ngeri apabila mereka disamun sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang dan kayu menyebabkan kerugian hampir RM130,000.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam Jumaat lalu, mangsa lelaki berusia 50 tahun diserang ketika berada di bahagian belakang rumahnya di Batu 11, Kampung Air Resam, Durian Tunggal, di sini, untuk membungkus susu segar kepada pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati, kesemua lima suspek lelaki tempatan disyaki dipercayai masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengikat tangan serta mata mangsa sebelum memukulnya menggunakan parang sehingga mengalami kecederaan di bahagian bahu dan perut apabila lelaki itu menafikan mempunyai barang kemas

“Mangsa dipaksa menyerahkan barang kemas dan ditanya berulang kali mengenai kewujudan barangan berharga lain di dalam rumah sebelum dibawa ke ruang tamu bersama isterinya berusia 46 tahun yang turut diikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi ahli keluarga termasuk anak perempuan pasangan itu berusia 23 tahun, warga emas berusia 73 tahun dan seorang lagi ahli keluarga wanita yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal turut menjadi mangsa apabila barang kemas di tubuh badan mereka dirampas.

“Kesemua mangsa diikat menggunakan pita pelekat yang dibawa suspek, malah mangsa mendakwa turut mendengar perbualan telefon suspek yang dipercayai menghubungi rakan bagi mengesahkan sama ada masih terdapat barang kemas lain di dalam rumah.

“Jenayah itu bagaimanapun terhenti apabila seorang pelanggan datang ke rumah untuk mengambil susu lembu, menyebabkan kesemua suspek panik dan melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya.

Ahmad berkata, mangsa kemudian menghubungi ahli keluarga lain dan membuat laporan polis sebelum dua mangsa yang mengalami kecederaan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.

“Kejadian mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM130,000 berupa pelbagai barang kemas dan harta benda termasuk emas iaitu lapan set thali, 10 utas rantai leher, dua utas rantai tangan, empat pasang anting-anting dan dua utas loket.

“Turut dicuri ialah satu utas rantai jenis dhall, enam beg duit syiling, sebuah jongkong perak seberat kira-kira 500 gram, wang tunai berjumlah RM2,000, kad pengenalan diri serta dua telefon bimbit,” katanya.

Tambahnya, polis kini sedang giat memburu lima suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjatakan senjata berbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast