KUALA LUMPUR – Pemain berdarah warisan negara, Gabriel Palmero diumum menyertai pasukan Liga Super, Kuching City FC baki saingan Liga Super musim ini.
Pengumuman tersebut dibuat kelab itu menerusi satu hantaran di laman sosial hari ini.
Sebelum ini, kontrak pemain itu ditamatkan pasukannya, CD Tenerife susulan isu pemalsuan dokumen yang menyaksikan dia digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (stay of execution) yang dikemukakan oleh Palmero dan enam lagi pemain kebangsaan yang digantung sebelum ini.
Keputusan itu bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya terbabit ditangguhkan buat sementara waktu.
Ini membolehkan mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.
Enam lagi pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – MalaysiaGazette
















