Seorang pemotong rumput maut kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kota Tinggi-Kulai, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Seorang pemotong rumput maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 34.5 Jalan Kota Tinggi-Kulai dekat sini hari ini.

Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa, Mohd Yasin Abdul Hashim yang berusia 27 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 9.30 pagi membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori Hino.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan berlaku apabila lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun membelok kiri tanpa perasan motosikal mangsa di sebelah kiri dari arah yang sama.

“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan pegawai perubatan yang hadir di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori berkenaan pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes tersebut masih dalam siasatan bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga hingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Tambahnya, pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast