MELAKA – Tindakan seorang lelaki membawa anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun mengemis bersamanya dengan cara memakai kostum ‘Spiderman’ di sebuah stesen minyak di Cheng di sini mengundang padah apabila ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, lelaki berusia 50 tahun berasal dari Pantai Timur itu ditahan sebelum diperiksa pegawai JKM yang diketuai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Menurut Kalsom, dia bergegas ke lokasi selepas menerima aduan mengenai perbuatan lelaki berkenaan yang sanggup mengeksploitasi anak saudara sendiri untuk tujuan mengemis.

Tindakan itu tegasnya, menjadi kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang secara khusus melarang eksploitasi kanak-kanak, termasuk menggunakan mereka untuk mengemis, kerja berbahaya, atau tujuan komersial atau keuntungan tidak wajar.
Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette sejak jam 4 petang mendapati, lelaki terbabit dilihat mula mengemis sejak jam 4 petang bersama kanak-kanak berkenaan dengan memakai kostum Spiderman yang sudah lusuh.

Sepanjang tempoh lebih dua jam, kelihatan beberapa kenderaan berhenti menghulurkan sumbangan di dalam kotak putih yang digantung di leher lelaki terbabit tertera ‘Sumbangan Ikhlas Hati’.
Malah, berlaku beberapa situasi, hanya kanak-kanak perempuan berkenaan dipanggil penyumbang menghampiri kereta sebelum diberkan wang mungkin didorong rasa simpati melihatnya yang terpaksa mengemis di usia masih kecil.
Pada ketika lain, kanak-kanak itu kelihatan merengek kepenatan sebelum berteduh di bawah payung sambil melakukan aktiviti pembelajaran mewarna dan melukis buku yang dibawanya sambil meneguk bekalan botol minuman.

Lebih menyedihkan, berlaku situasi kanak-kanak terbabit ditinggalkan sendirian selama beberapa minit bersama kotak sumbangan yang digantung di leher, kostum yang sudah koyak di bahagian tumit sekali gus mengundang simpati penyumbang.
Sementara itu Kalsom berkata, pihaknya memandang serius perbuatan mengeksploitasi kanak-kanak untuk tujuan meraih simpati orang awam di tempat awam, sekali gus menyalahi peruntukan undang-undang.
“Perbuatan ini adalah salah dan boleh dianggap sebagai memperdagangkan serta mengeksploitasi kanak-kanak, walaupun melibatkan ahli keluarga sendiri.
“Kehadiran mengejut saya ke sini selepas mendapat aduan bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terjamin dan ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dilihat merengek kepenatan.
Menurutnya, pihak JKM telah mengambil keterangan lelaki berusia 50 tahun terbabit yang berasal dari Pantai Timur dan siasatan awal sedang dijalankan bagi menentukan tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini, kita tidak menahannya, namun amaran keras telah diberikan sekiranya perkara sama berulang, tindakan tegas akan diambil.
“Jika berdepan kekurangan makanan atau masalah kewangan gunakan saluran yang betul dan bukannya melibatkan kanak-kanak dalam situasi seperti ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















