KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam tidak akan berkompromi dengan kilang-kilang yang didapati mengitar semula e-waste secara haram.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, terkini sebanyak 85 kes yang diambil tindakan menerusi Op Hazard, melibatkan 21 premis dikenakan kompaun, manakala selebihnya telah didakwa di mahkamah.
“Setakat ini 11 kes selesai,” katanya Ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, tindakan penutupan kilang-kilang haram dan pendakwaan memerlukan kerjasama pihak berkuasa dan agensi yang terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Joseph berkata, beliau telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas ditubuhkan di bawah kementerian berkenaan bagi menilai dan menambah baik kecekapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) khususnya berkaitan penambahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan) yang meminta beliau memperincikan jumlah dakwaan berkaitan e-waste yang telah dibuat.
Joseph berkata, Malaysia merupakan negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
Lantaran itu, pengimportan e-waste tidak dibenarkan di negara ini.
“Ingin ditegaskan bahawa Kementerian melalui JAS tidak pernah memberi kelulusan atau membenarkan sebarang pengimportan e-waste sepanjang tempoh ini,” tambahnya.
Bagaimanapun, Malaysia dilihat menjadi destinasi pembuangan e-waste sejak China mengetatkan sisa buangan ke negara itu pada 2018.
Dalam masa yang sama katanya lagi, terdapat permintaan yang tinggi oleh kilang haram yang tidak berlesen yang menjalankan aktiviti memproses e-waste kerana bahan tersebut mengandungi logam bernilai tinggi,” katanya lagi.
Sepanjang tempoh 2021 hingga tahun lalu sebanyak 1,241 kontena telah diperiksa oleh Kastam, JAS, Lembaga Pelabuhan serta agensi penguatkuasaan lain.
Katanya, sebanyak 428 daripada keseluruhan 701 kontena mengandungi muatan sisa elektronik (e-waste) haram yang ditahan dalam tempoh lima tahun lalu, berjaya dipulangkan semula ke negara asal.
“JAS telah mengeluarkan arahan pemulangan kepada semua konsaini yang terlibat melalui notis arahan di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, berdasarkan maklumat manifest KASTAM atau `bill of landing’,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















