Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Damai Jaya, Skudai, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai di sini hari ini.

Dua mangsa tersebut Mohd Shahrizal Yap berusia 22 tahun dan Wan Nurkhairani Wan Norzaini berusia 21 tahun.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Kamal Shaari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 5 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda jenis Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis teres kekal dua tingkat dengan kemusnahan 40 peratus.

“Kebakaran dipercayai berlaku di ruang tamu di tingkat bawah rumah. Semasa operasi pemadaman dan pemeriksaan dijalankan, dua mangsa ditemui di tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan pukul 5.51 pagi bagi mengelakkan merebak ke rumah bersebelahan.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast