Nurul Islam Mohamed Yusoff
Nurul Islam Mohamed Yusoff.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa dua kenyataan Istana Selangor berkaitan isu penternakan babi dan rumah ibadat tanpa kelulusan telah menjejaskan kredibiliti pentadbiran kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan Pas Selangor, Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff mendakwa perkembangan itu menjadi tamparan kepada kepimpinan negeri selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengenai kedua-dua isu berkenaan.

Menurut beliau, titah baginda berhubung penternakan babi memperlihatkan pendirian jelas bahawa aktiviti tersebut tidak lagi dibenarkan di negeri itu.

“Sultan Selangor bertitah isu babi, jelas titah tuanku tiada lagi penternakan babi dalam Negeri Selangor. Tidak di mana-mana daerah sekalipun.

“Maka MB Selangor dan Exco dia yang sebelum ini mempertahankan penternak babi dalam negeri Selangor, nak letak mana muka?” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohd Munir Bani berkata, titah itu mengambil kira kesan pencemaran udara serta sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Dalam pada itu, Nurul Islam turut merujuk cadangan penyelesaian sebelum ini yang dikemukakan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Abd Halim Tamuri, yang menurutnya dibuat berasaskan fakta dan data tetapi tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

Beliau turut mengaitkan titah Sultan Selangor berhubung isu kuil tanpa kelulusan sebagai petunjuk kelemahan pentadbiran negeri dalam aspek pemantauan.

“Sultan Selangor bertitah pasal isu kuil tanpa kelulusan ini kegagalan jelas oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor sehingga membawa kepada 687 kuil tanpa kelulusan atas tanah kerajaan dan persendirian,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera selaras dengan titah baginda bagi mengelakkan implikasi lebih besar kepada keharmonian dan keyakinan rakyat.

“Malu lah kalau setiap kerja kau orang nak kena ingatkan… Maka sekarang MB Selangor perlu sambut arahan perdana menteri dan titah Sultan Selangor menggunakan peruntukan undang-undang yang ada di tangan untuk selesaikan isu ini.

“MB Selangor, anda gagal! Kegagalan ini akan membawa kepada hakisan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri… ‘final nail in the political coffin’ untuk Amirudin… Masa akan menentukan hukuman rakyat terhadap dia,” katanya.

Katanya, sebenarnya, sudah banyak kali MB Selangor ditegur oleh Tuanku.

“Isu sampah, isu tanah, isu kandang bab!. Kali ni double combo dua isu serentak. Bila titah Istana tidak diterjemahkan dengan tindakan pentadbiran, maka ini adalah kegagalan yang serius,” ujarnya. — MalaysiaGazette

Sultan Selangor tak berkenan penternakan babi di negeri itu, saran import sahaja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast