Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang juga Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Isu rumah ibadat bukan Islam (RIBI) yang dibina tanpa kebenaran lebih sesuai dibincang dan diselesaikan melalui platform Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui menegaskan isu ini sudah berlangsung lama dan memerlukan penyelesaian secara matang, bukannya emosional.

“Dari segi garis panduan pembinaan termasuk rumah ibadat secara prinsipnya, undang-undang dan peraturan pembangunan sedia ada memang wujud dan terpakai,” katanya ketika sesi Penggulungan Titah Diraja, di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, pandangan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) serta Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur juga penting dalam konteks ini.

“Ini kerana penyelesaian isu seperti ini tidak boleh dibuat secara unilateral atau secara terburu-buru. Ia mesti dibuat melalui libat urus yang betul, dengan komuniti yang betul dan melalui mekanisme yang betul,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang membahaskan isu berkenaan sebelum ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Tegasnya, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast