Rais Yasin

MELAKA – Melaka memberi jaminan isu rumah ibadat termasuk kuil tanpa kelulusan di negeri ini masih terkawal dan tidak menimbulkan konflik besar antara kaum serta agama.

Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, keadaan itu hasil pendekatan harmoni serta penyelesaian melalui perbincangan bersama semua pihak berkepentingan.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, isu itu ditangani secara berhemah oleh kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil rakyat kawasan terlibat.

“Di Melaka, setakat ini isu rumah ibadat tanpa kelulusan masih berada dalam keadaan harmoni.

“Sekiranya terdapat struktur rumah ibadat yang benar-benar mengganggu, tanpa mengira agama, dan menerima aduan serius, perkara itu akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Merentas Desa dan Menghias Bento sempena Karnival Demi Paya Rumput di Sekolah Kebangsaan Cheng di sini, hari ini.

Menurutnya, beberapa isu rumah ibadat yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu kini sedang diselesaikan secara berperingkat, termasuk struktur kuil yang terletak di kawasan tanah pemaju berhampiran Sungai Melaka.

Mengulas mengenai proses pemutihan, beliau berkata kerajaan negeri mempunyai data lengkap berkaitan rumah ibadat yang tidak berdaftar, namun tiada keperluan untuk mendedahkan angka tersebut kepada umum.

“Setiap pihak berkuasa tempatan mempunyai data masing-masing dan sekiranya timbul sebarang isu, kita akan turun padang untuk meneliti serta merujuk maklumat berkenaan.

“Sebagai sebuah negeri berbilang kaum dan agama, rakyat diminta supaya tidak membesarkan isu sensitif,” katanya.

Tambahnya, setiap negeri mempunyai permasalahan dan kaedah penyelesaian yang sedikit berbeza, namun pelaksanaan dasar tetap berpaksikan prinsip yang sama.

“Apa yang penting, kita tidak mahu mencetuskan isu yang tidak perlu, sebaliknya memberi fokus kepada penyelesaian,” ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi memastikan keselamatan serta kematangan negara pada masa hadapan.

Menurut beliau, walaupun prinsip tolak ansur mempunyai nilai dan kebaikan tersendiri, ia tidak boleh diteruskan tanpa batas sehingga menjejaskan kedaulatan undang-undang dan kekuatan institusi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast