Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada Loke Kim Yen di rumahnya di Jalan Merak, Larkin Jaya, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU- Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan RM5 juta setahun bagi membantu kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim serta yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 sejak penubuhannya pada 2022.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu digunakan untuk bantuan bulanan, bantuan pendidikan, sumbangan persekolahan serta bantuan khas sempena perayaan bagi memastikan kebajikan anak-anak terkesan terus terbela tanpa mengira kaum dan agama.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, YKM menanggung bantuan kewangan anak-anak penerima sehingga berusia 18 tahun, malah diteruskan sehingga ke peringkat pengajian tinggi di institusi awam dan swasta sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“Selain bantuan bulanan, YKM turut menyalurkan bantuan one-off sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Kaamatan dan Gawai sebagai sokongan tambahan kepada keluarga penerima.

“Hampir 1,000 anak-anak di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif YKM setakat ini, dengan jumlah penerima dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Ziarah Kasih YKM di rumahnya di Jalan Merak, Larkin Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Sebelum itu, Ismail Sabri melawat guru piano, Loke Kim Yen, 51 yang menjaga dua anaknya selepas suaminya meninggal dunia akibat Covid-19, lima tahun lalu.

Anak sulungnya Soh Zhe Hon, 18, yang mengalami masalah pembelajaran kini mengikuti pembelajaran di Pusat Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara 2 dan Soh Zhe Qi, 16, pelajar di Sekolah Menengah (SM) Foon Yew.

Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, YKM akan memperkenalkan kelas tuisyen percuma secara dalam talian tahun ini melibatkan 54 anak-anak YKM yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, selain penganjuran program kem motivasi.

Kelas tuisyen itu katanya, akan dimulakan seawal minggu depan dan dilaksanakan secara dalam talian bagi memudahkan penyertaan.

“Kita juga merancang untuk menghimpunkan anak-anak ini dalam satu program bagi membina motivasi serta semangat bekerjasama,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast