Nor Hafika tidak dapat mengawal emosi ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Ibu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang tular mengemis dengan memakai kostum Spiderman bersama seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Cheng, Isnin lalu tidak tahu perbuatan anak sulungnya itu selepas dibawa keluar oleh bapa angkatnya.

Nor Hafika Mohd. Shamsul, 30, berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumahnya, memaklumkan kesalahan mengemis dilakukan anaknya itu.

“Anak saya tak mengemis malah ketika kejadian saya pun tak tahu dia ikut bapa angkat saya iaitu atok angkatnya yang dipanggil ‘Uncle Awe’ berusia 50 tahun selepas mengambilnya balik dari tuisyen.

“Saya terkejut dan terus marah bapa angkat saya kenapa sanggup perlakukan anak saya begitu walaupun tahu anak saya ada kostum itu yang sememannya sudah koyak ketika dikutip di pusat pengumpulan pakaian terpakai Disember lalu,” katanya menyeka air mata.

Nor Hafika tidak dapat mengawal emosi ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Melaka hari ini.

Nor Hafika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Pengarah JKM Melaka Halyjah Muhamad di rumahnya di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini hari ini.

Ia susulan laporan MalaysiaGazette mengenai tindakan seorang lelaki membawa anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun mengemis bersamanya dengan cara memakai kostum ‘Spiderman’ sebelum ditahan JKM Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang hari sebelumnya, lelaki berusia 50 tahun berasal dari Kelantan itu ditahan sebelum diperiksa pegawai JKM yang diketuai Kalsom.

Kalsom (kanan) menyantuni Nor Hafika ketika ditemui di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Hafika berkata, ketika kejadian, suaminya Mohd Nazry Mohd Ali, 40, tiada di rumah untuk menjalankan rutin mengambil anaknya itu dari kelas tambahan kerana melakukan kerja-kerja kampung.

“Saya pula tiada motosikal jadi terpaksalah bapa angkat yang dikenali hampir 20 tahun lalu tolong ambil anak. Memang sebelum ini, saya tahu dia ada beberapa kali anak ikut bapa angkat saya itu.

“Tapi tak sangka pula rupanya anak berada di hadapan orang ramai untuk meraih sumbangan macam orang mengemis seperti video yang tular,” tambahnya hiba.

Kanak-kanak berpakaian kostum ‘Spiderman’ meminta sumbangan ikhlas orang ramai ketika tinjauan di sebuah stesen minyak di Cheng, Melaka. Foto REZA A HAMID, 09 FEBRUARI 2026.

Nor Hafika mengakui keluarganya hidup serba kekurangan dan hanya bergantung kepada bantuan JKM sebanyak RM250 sebulan yang digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan sekolah serta tuisyen anaknya sejak setahun lalu.

“Duit bantuan RM250 itu memang habis untuk dia seorang sahaja. Yuran tuisyen, duit sekolah semua guna itu walaupun kadang-kadang kami makan telur dengan kicap sahaja sebab suami kerja gaji tak tetap,” jelasnya.

Kanak-kanak berpakaian kostum ‘Spiderman’ duduk berteduh sambil menunggu sumbangan ikhlas orang ramai ketika tinjauan di sebuah stesen minyak di Cheng, Melaka. Foto REZA A HAMID, 09 FEBRUARI 2026.

Lebih menyedihkan, Hafika berkata, anaknya turut terkesan selepas isu itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai komen negatif.

“Saya tunjuk dia video yang viral sampai saya cakap, nampak tak Mama yang malu? Orang semua datang rumah sebelum dia terus peluk saya dan minta maaf,” katanya hiba.

Sementara itu, Kalsom pula berkata, JKM sedang mengkaji untuk menaik taraf bantuan kepada keluarga empat beranak itu termasuk anak bongsu berusia empat tahun.

Menurutnya, ibu kepada dua anak itu kini menerima Bantuan Am sebanyak RM250 sebulan namun jumlah tersebut sedang dinilai semula berdasarkan pendapatan isi rumah yang kurang hanya berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Kanak-kanak berpakaian kostum ‘Spiderman’ yang koyak duduk berteduh sambil menunggu sumbangan ikhlas orang ramai ketika tinjauan di sebuah stesen minyak di Cheng, Melaka. Foto REZA A HAMID, 09 FEBRUARI 2026.

“Kita datang bukan untuk menghukum tetapi untuk membantu sebab itu kita akan kaji semula bantuan sedia ada dan lihat sama ada boleh dinaik taraf mengikut kelayakan serta keperluan semasa keluarga ini.

“Isu membabitkan kanak-kanak ini tidak boleh dipandang ringan khususnya apabila melibatkan keselamatan dan kemungkinan eksploitasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa lah mencari rezeki secara menipu..tak malu lah badan sihat, umur pun tidak setia mana baru 50 tahun..Di Negeri Melaka atau walau dimana sekali pun mencari pekerjaan dgn tulang empat kerat masih banyak didapati. Kejadian ini jelas menunjukkan manusia ini malas menggunakan OTAK untuk berfikir..hanya mencari mudah sahaja.

Comments are closed.