MELAKA – Dua anggota polis direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan berhubung kes suapan kira-kira RM2,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam kes dadah.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 16 Februari dikeluarkan Majistret Uthman Abd. Ghani terhadap suspek yang berusia lingkungan 30 tahun dan 40-an.
Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu telah ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika menghadiri proses kawad cam di pejabat SPRM Melaka.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada 5 Januari lalu di Hentian Rehat dan Rawat Ayer Keroh.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah itu secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. – MalaysiaGazette
















