Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen berkenaan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dicadangkan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki untuk memberikan penjelasan berhubung kontroversi pemilikan saham membabitkan beliau.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia bagi membolehkan Azam diberi peluang untuk mengemukakan penjelasan munasabah dan telus dalam mempertahankan dirinya daripada kontroversi tersebut.

Menurutnya yang juga Setiausaha Organisasi DAP, penjelasan yang tepat dan menyeluruh itu amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM kekal terpelihara.

Apatah lagi ketika agensi tersebut sedang mengendalikan pelbagai kes rasuah selaras dengan usaha berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah di seluruh negara.

“Ketika Perdana Menteri sendiri komited memastikan negara bebas daripada rasuah, perkembangan terbaharu ini (melibatkan Azam) berisiko menjejaskan usaha kerajaan untuk merealisasikan misi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Poay Tiong menyifatkan pendedahan terbaharu berhubungan pemilikan saham Azam seperti didedahkan Bloomberg sebagai satu kejutan besar.

Katanya, ia memandangkan Azam pada 2021 pernah dikaitkan dengan isu hampir sama melibatkan pegangan saham yang berbeza yang membawa kepada bantahan awam pada Januari 2022.

Bagaimanapun, jelas beliau, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ketika itu memutuskan Azam tidak melanggar undang-undang sekuriti selepas pemilikan saham itu melibatkan adik beliau yang menggunakan akuan dagangannya untuk membeli saham.

“Selepas empat tahun, isu yang hampir sama kembali berlaku sekali gus menimbulkan persoalan penting bagaimana insiden serupa boleh berlaku lagi melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan, walaupun kes terdahulu telah diteliti secara menyeluruh oleh pelbagai pihak serta mendapat perhatian besar masyarakat?” katanya.

Tambah beliau, sebagai seorang penjawat awam berprofil tinggi, Azam sepatutnya mengambil pengajaran daripada kontroversi sebelum ini.

Apatah lagi, ujarnya, apabila masyarakat sentiasa memerhati dengan teliti sebarang isu berkaitan rasuah yang melibatkan bukan sahaja ahli politik malah pegawai kanan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast