Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh (dua dari kiri) mengetuai bacaan Ikrar Bebas Rasuah simbolik komitmen seluruh warga UKM untuk mengamalkan integriti dan tadbir urus beretika.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus komited untuk meningkatkan integriti dalam kalangan seluruh warganya bagi membudayakan amalan berintegriti serta memperkukuh tadbir urus dalam institusi tersebut.

Melalui penganjuran Program Pemantapan Kepimpinan Mercu: Integriti dan Akauntabiliti, ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan universiti berkumpul bagi mengadakan perbincangan terbuka dan forum untuk meningkatkan tadbir urus yang baik.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata penganjuran ini penting kepada seluruh warga universiti dalam membawa perubahan kepada UKM.

“Sebagai pemimpin dan pentadbir universiti, kita perlu memahami setiap tindakan yang diambil, kerana semua warga harus berteraskan integriti yang tinggi.

“Ia juga merupakan peluang untuk menunjukkan kesungguhan kita dalam mempertahankan nama baik universiti.

“Nama UKM ialah nama yang baik dan dihormati. Setiap tindakan pemimpin mencerminkan maruah universiti dan menentukan tahap kepercayaan masyarakat terhadap kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kegagalan memelihara integriti bukan sahaja menjejaskan individu, malah memberi kesan langsung kepada imej institusi secara keseluruhan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Datuk Johan Idris berkata bahawa integriti tidak boleh diabaikan kerana ia menjadi asas kekuatan setiap organisasi, merangkumi aspek disiplin dan akauntibiliti.

Sehubungan itu, penilaian yang tepat perlu dibuat dan peraturan tegas mesti dilaksanakan bagi memastikan organisasi bergerak dengan berkesan dan berintegriti.

Program ini turut menampilkan sesi perkongsian “Seksyen 17A: Implikasi Tadbir Urus” yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KPKPj Samsul Salip.

Menurutnya, UKM perlu menggunakan platform ini untuk memperkukuh pemahaman terhadap Seksyen 17A Akta SPRM 2009 khususnya dalam memastikan kepimpinan dan warga universiti jelas tentang tanggungjawab, risiko serta implikasi tadbir urus yang lemah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast