Fadhlina (tengah) pada Majlis Penyerahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengusaha tadika swasta bagi menilai kesan pelaksanaan pendidikan darjah satu pada usia enam tahun yang dijangka bermula tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi libat urus itu bertujuan mendengar pandangan dan kebimbangan pihak pengusaha tadika serta mencari penyelesaian terbaik susulan pengusaha tadika menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan itu.

“Kita telah melaksanakan sesi libat urus dengan mereka untuk mendapatkan maklum balas dan alhamdulilah, kesemua mereka mendukung keputusan ini.

“Kita akan lihat apa yang dibangkitkan (mereka) khususnya kohort-kohort yang akan dilaksanakan dan dari segi penyelarasan yang dijangka selesai sedikit masa lagi.

“Kementerian akan terus membantu pemilik tadika swasta supaya operasi mereka tidak terganggu dengan pelaksanaan sistem pendidikan baharu ini, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pendidikan prasekolah akan bermula seawal usia lima tahun, manakala darjah satu pula pada usia enam tahun berkuat kuasa tahun depan.

Perubahan itu masih bersifat pilihan pada peringkat awal, memberi ruang kepada ibu bapa dan warga pendidik bersedia dengan persekitaran baharu pendidikan.

Sehubungan itu, kemasukan darjah satu pada usia tujuh tahun masih dibenarkan, namun ibu bapa digalakkan menghantar anak mereka berusia lima tahun ke prasekolah sebagai persiapan awal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast