Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim hadir ke mesyuarat mengenai himpunan bantah pemecatan Hamzah Zainuddin di Ibu Pejabat Parti Bersatu, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 12 FEBRUARI 2026

PETALING JAYA – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim mendakwa partinya kini sudah hilang ruang kebebasan bersuara selepas beliau dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin parti.

Beliau berkata, lembaga berkenaan juga didakwa tidak mempunyai sebab tertentu kerana beliau bersuara mengenai parti sendiri apabila beliau diheret untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataannya.

“Saya boleh katakan bahawa kebebasan bersuara dalam parti itu sendiri telah pun dilenyapkan dan saya juga tidak faham sebagai rakan komponen Perikatan Nasional (PN) kita tidak boleh menyokong Pas yang juga adalah rakan dalam PN sendiri.

“Di antara aduannya adalah saya menyebut tentang sekiranya PN ini bermasalah maka saya bertanya kepada rakyat Malaysia adakah wajar sekiranya kita memperkukuhkan Pas itu juga diadu yang saya merasakan sangat pelik kerana dikatakan ia bertentangan dengan prinsip parti itu sendiri,” katanya dalam sidang media selepas selesai dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

Shafiq merupakan antara pemimpin parti yang dipanggil dipercayai berkaitan isu disiplin termasuk dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut dipanggil ialah dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Yunus Nurdin.

Selain itu, beberapa Ketua Bahagian terlibat termasuk Ahmad Ishak (Gopeng), Mohd. Yunus Mohd. Yusof (Tapah), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru) serta Dr. Mohd Yadzil Yaakub (Jasin).

Pemimpin bahagian lain yang dijadual menghadap ialah Ahmad Nasir Mid (Selayang), Mohd. Hassuandi Hamzah (Larut), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar.

Turut dipanggil ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam pada itu, Shafiq turut mengakui wujud perpecahan dalaman parti melibatkan dua kem yang masing-masing menyokong Hamzah dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tak perlu saya rahsiakan kewujudan dua kem di mana kem Azmin dan juga kem Hamzah ini. Masalah yang secara memang wujudnya adalah sebahagian yang daripada UMNO dan juga sebahagian yang daripada PKR yang inginkan pemimpin dia jadi itulah mulanya pecahan dalam Bersatu,” katanya lagi. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast