Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKPS) di Auditorium Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan kebebasan beragama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara menjadi pendirian dan keutamaan dalam pentadbiran Madani pada hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebebasan beragama yang termaktub melalui Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan akan terus dijunjung dan semua pihak perlu dihormati hak tersebut.

“Kita tetap kekal sebagai sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya, maka jaminan kebebasan agama itu seperti termaktub dalam Perlembagaan kekal sebagai pendirian kerajaan.

“Menghormati kebebasan beragama termasuk menghormati kewujudan rumah ibadat semua agama, kena dihormati dan dilindungi.

“Sebarang penyelesaiannya mesti mengambil kira sensitiviti penganut yang terlibat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKPS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penahanan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan dan kejadian perobohan sebahagian struktur sebuah kuil yang tidak mengikut peraturan di Rawang, Selangor, pada Rabu.

Saifuddin berkata, kerajaan tidak akan membiarkan sebarang usaha pihak tertentu untuk menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam khususnya dalam kebebasan beragama dan keselamatan rumah ibadat semua agama.

“Insiden-insiden seperti ini tak boleh kita biarkan berterusan. Malaysia dibina di atas semangat hidup bersama dan kepelbagaian.

“Tiada dalam kalangan kita yang nak tengok berlaku kucar-kacir dan porak-peranda dalam negara ini, ketika semua landasan dan petunjuk ekonomi menunjukkan kita bergerak di landasan yang tepat,” katanya.

Menurut Saifuddin, insiden perobohan rumah ibadat bukan Islam seperti mana berlaku di Rawang perlu ditangani dengan cermat dan mengikut lunas undang-undang.

“Saya tahu lewat kebelakangan ini, isu-isu perkauman dan sentimen agama menjadi sedikit tajam, terutama bila semalam ada satu tindakan individu mengikut dia sendiri, tidak mengikut jalur hukum, maka diroboh satu rumah ibadat.

“Hal ini kalau tidak ditangani dengan cermat, mengikut prinsip undang-undang, ataupun kedaulatan undang-undang, ini boleh sahaja mencetuskan keadaan yang tak mahu kita lihat berlaku dalam negara kita,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, dalam situasi ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan penting dalam menguruskan situasi daripada dimanipulasi mana-mana pihak khususnya platform media sosial.

“Isu berkaitan kaum dan agama ini sangat emotif terutama dunia, di mana semua maklumat hanya di hujung jari, disebar oleh orang yang tidak fikir pun soal keamanan dan ketenteraman, yang penting jarinya terus menyebarkan apa sahaja.

“Insiden seperti ini mudah sahaja dimanipulasi, berpotensi menjejaskan keharmonian dan secara komunikasinya tidak diurus dengan jelas, itu akan melengkapkan malapetaka,” katanya.

Katanya lagi, isu keselamatan rumah ibadat bukan Islam dan kebebasan beragama perlu ditangani mengikut undang-undang dan bukannya secara emosi dan sentimen.

“Kalau ia terkait dengan status tanah, pemilikan dan perancangan bandar, biar ia ditentukan mengikut saluran undang-undang.

“Tak boleh ada pihak yang mengambil tindakan sendiri atau mencetuskan provokasi. Perbuatan ini sangat bahaya dan kita ulangi kesungguhan kerajaan bahawa penyelesaian yang adil dalam isu ini mestilah berlandaskan fakta dan perundangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast