Tamim Dahari Abdul Razak.

SHAH ALAM – Pasukan pembelaan mewakili aktivis Tamim Dahri akan memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi di sini susulan keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembersihan tanah.

Peguamnya, Aidil Khalid berkata, mahkamah membenarkan reman selama dua hari bermula dari tarikh tangkapan, selepas menolak permohonan polis yang memohon tempoh empat hari.

“Tamim ditahan kira-kira pukul 10 pagi semalam. Ini bermakna sebelum pukul 10 pagi esok, beliau sepatutnya dibebaskan, tertakluk kepada sebarang permohonan lanjutan,” katanya selepas prosiding hari ini.

Menurut Aidil, polis masih mempunyai kuasa untuk memohon lanjutan reman sebelum tempoh dua hari tamat, namun pihaknya akan membantah sebarang permohonan tambahan.

“Jika ada permohonan lanjutan, kami akan hadir dan mengemukakan bantahan,” ujarnya.

Seorang lagi peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, walaupun tempoh reman hanya dua hari, pihak pembelaan berpandangan penahanan itu tidak sepatutnya diberikan memandangkan semua individu terlibat telah memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Anak guam kami menyerahkan diri secara sukarela dan tiada sebarang keterangan menunjukkan mereka cuba melarikan diri atau menghalang siasatan.

“Dalam keadaan ini, pihak polis sepatutnya boleh memberikan jaminan tanpa perlu memohon reman,” jelasnya.

Sementara itu, dalam prosiding berkenaan, pihak pembelaan turut mengemukakan beberapa dokumen bagi mencabar asas siasatan, termasuk bukti bahawa kerja pembersihan tanah dijalankan atas permintaan Yayasan Kubra, Rawang Perdana selaku pemilik tanah.

Aidil berkata, yayasan itu telah mengeluarkan notis kepada pihak yang didakwa menceroboh tanah berkenaan serta membuat laporan polis sejak 2018, namun tiada tindakan diambil setakat ini.

“Yayasan juga pernah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan, namun diminta menguruskan perkara tersebut sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah berpandangan siasatan masih berada di peringkat awal dan membenarkan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Tamim bersama tiga rakannya sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi semalam.

Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 504 (dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan) dan Seksyen 295 (mencemarkan tempat ibadat).

Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik sebuah kuil di atas tanah berkenaan.

Setakat ini, mereka masih belum dimaklumkan sama ada siasatan turut dijalankan terhadap dakwaan pencerobohan tanah yang dikemukakan oleh pihak Yayasan Kubra sebelum ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast