Kedua-dua suspek ditahan reman hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang ketua pengarah dan seorang pengarah sebuah jabatan agensi kerajaan kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana kira-kira RM900,000.

Kedua-dua suspek turut dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berkaitan urusan ke luar negara.

Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira  1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya. 

“Siasatan awal mendapati mereka disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di jabatan tempat mereka berkhidmat berjumlah kira-kira RM900,000 bagi kepentingan peribadi.

“Selain itu, mereka turut dipercayai mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bernilai kira-kira RM60,000 bagi tujuan menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009. 

Kes itu turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan menyalahgunakan harta secara curang serta pecah amanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast