MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka membongkar kegiatan penyimpanan dan pengedaran 820 tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen bernilai hampir RM600,000 dalam dua serbuan berasingan di Telok Mas di sini malam tadi.
Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, operasi kira-kira jam 9 malam itu dijalankan sepasukan 15 anggota penguat kuasa selepas hampir tiga minggu risikan susulan aduan awam.
Menurutnya, serbuan di premis pertama menemukan 524 tong LPG pelbagai jenama dengan 191 daripadanya berisi gas yang disimpan di lokasi yang tidak dilesenkan.
“Kita turut menyita lima lori dengan kapasiti muatan antara satu hingga tujuh tan yang dipercayai digunakan untuk mengalihkan barang kawalan ke tempat tidak sah.
“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab terhadap premis tersebut turut ditahan bersama nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM476,280,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

KPDN Melaka berjaya membongkar kegiatan penyimpanan dan pengedaran 820 tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen bernilai hampir RM600,000 dalam dua serbuan berasingan di Telok Mas, Melaka malam tadi.
Manakala serbuan di premis kedua pula membawa kepada penemuan 296 tong LPG pelbagai jenama dengan 160 tong berisi gas serta empat lori muatan satu tan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM107,514.
“Seorang lelaki tempatan berusia 40-an gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah untuk menjalankan urus niaga barang kawalan dan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Ini menjadikan jumlah sitaan di kedua-dua premis dianggarkan sebanyak RM583,794,” tambahnya.
Mohd Hazimin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga tanpa lesen sah.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“KPDN Melaka memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan barang kawalan untuk mengaut keuntungan secara haram.
“Penguat kuasa kami sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang di negeri ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















