PASIR GUDANG – Bilangan mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa pagi tadi yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS). bertambah kepada 148 orang.
Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, pemindahan tersebut melibatkan keseluruhan 39 keluarga orang asli ke PPS di Taman Megah Ria, Permas.
“Ada pertambahan sedikit bertanding sejak PPS dibuka pukul 1 petang tadi daripada 117 orang (30 keluarga) kepada 148 orang (39 keluarga) setakat pukul 8 malam ini,” ujarnya yang juga Setiausaha Kerajaan negeri dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.04 pagi itu, perkampungan atas air itu musnah dalam kebakaran namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran di rumah papan atas air itu bukan sahaja mengakibatkan penduduk hilang tempat tinggal tetapi juga kenderaan seperti motosikal dan bot serta haiwan peliharaan tidak dapat diselamatkan.
Majoriti daripada penduduk bekerja sebagai nelayan, menjadi pemandu van sekolah dan bekerja di restoran makanan laut berdekatan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru, Mohd Masni Wakiman berkata, setakat ini satu PPS dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran terbabit.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Johor Bahru memberitahu, mangsa kebakaran berkenaan bukan sahaja hilang tempat tinggal tetapi kenderaan juga musnah.
“Kebakaran mengakibatkan kerosakan 50 peratus pada dua bot berenjin yang rosak 50 peratus, sebuah kereta (5 peratus) dan enam buah motosikal (90 peratus).
“Kebakaran dilaporkan berlaku pukul 7.04 pagi dan api dapat dikawal proses pemadaman selesai pukul 2.06 petang tadi,” katanya dalam kenyataan berasingan.
JPBD katanya, akan terus memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan tidak mendekati kawasan kejadian serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” katanya.- MalaysiaGazette
















