PETALING JAYA – Mesyuarat Lembaga Disiplin parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadualkan hari ini berjalan seperti biasa.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, beliau dipanggil untuk berdepan dengan lembaga berkenaan jam 11.30 pagi ini.
“Mesyuarat Lembaga Disiplin berjalan jam 10 pagi tadi.
“Saya dipanggil jam 11.30 pagi. Tapi Hamzah tidak hadir,” katanya kepada media di pekarangan ibu pejabat Bersatu, hari ini.
Untuk rekod, Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memanggil 14 individu termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, Hamzah dilaporkan tidak hadir kerana masih berada di Sydney, Australia.
Antara pemimpin yang dipanggil ialah dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Yunus Nurdin.
Selain itu, beberapa Ketua Bahagian terlibat antaranya Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd. Yunus Mohd. Yusof (Tapah); Kamaruddin Majid (Teluk Intan) dan Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru) serta Dr. Mohd Yadzil Yaakub (Jasin).
Pemimpin bahagian lain yang akan dipanggil menghadap Ahmad Nasir Mid (Selayang); Mohd. Hassuandi Hamzah (Larut) dan Abdul Aziz Ismail (Dungun) serta Ramlan Meon (Tangga Batu).
Turut dipanggil Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim dan Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar.
Tindakan memanggil mereka-mereka ini adalah dipercayai berkaitan dengan isu disiplin termasuk gerakan kononnya untuk menjatuhkan kepemimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, pekarangan ibu pejabat Bersatu masih lengang tanpa sebarang himpunan.
Sebelum ini tersebar poster penganjuran satu himpunan yang dinamakan Himpunan Bantah Pemecatan Hamzah dijadualkan diadakan hari ini.
Himpunan berkenaan dijadualkan berlangsung jam 11 pagi tadi hingga 2 petang ini. – MalaysiaGazette
















