KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini melancarkan Kempen Ramadan 1447H/2026M dengan memperkenalkan inisiatif baharu “30 Hari Berwakaf @ Ramadan” bagi menggalakkan umat Islam berwakaf secara konsisten sepanjang bulan mulia itu.
Kempen ini adalah usaha berterusan PPZ-MAIWP dalam mengajak masyarakat Islam menyempurnakan kewajipan berzakat, selain mempromosikan pelbagai perkhidmatan, saluran bayaran serta program menarik sepanjang Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya komited memperkasa budaya berzakat dan berwakaf dalam kalangan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan ummah secara menyeluruh.

Katanya, mengangkat tema “Ikhlas Memberi, Tulus Membantu”, kempen ini bertujuan menanam nilai memberi dengan penuh keikhlasan agar setiap sumbangan yang dihulurkan dapat memberikan manfaat berpanjangan khususnya kepada golongan asnaf.
“Selain zakat fitrah dan zakat harta, PPZ-MAIWP turut mengajak masyarakat merebut peluang beramal melalui wakaf tunai yang disifatkan sebagai instrumen kebajikan dengan manfaat berterusan.
“Menerusi inisiatif “30 Hari Berwakaf @ Ramadan”, orang ramai berpeluang menyumbang kepada pelbagai projek wakaf yang berbeza setiap hari sepanjang Ramadan,” katanya kepada media selepas pelancaran berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Hakim berkata, inisiatif itu mampu memberi ruang kepada masyarakat untuk berwakaf secara berterusan walaupun dengan jumlah kecil, namun, impaknya besar dan berkekalan.
Katanya, PPZ-MAIWP percaya setiap sumbangan wakaf yang disalurkan bakal menjadi saham akhirat yang terus mengalir pahalanya.
Tambah beliau, PPZ-MAIWP juga komited memperkasa budaya berzakat dan berwakaf dalam kalangan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
Dalam pada itu beliau berkata, kempen yang berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac itu bukan sahaja melibatkan aktiviti bersama rakan strategik, malah menampilkan pelbagai program khas sepanjang Ramadan.
Antaranya ialah Podcast secara langsung bersama pempengaruh dan panel pelbagai latar belakang, program Sis on the Move menerusi sesi usrah dan iftar khas bersama selebriti serta pengasas jenama tempatan, Ramadan Tour, yang merupakan siri jelajah PPZ-MAIWP ke lokasi tarikan di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Ramadan Corporate Tour di syarikat-syarikat bagi memberi pencerahan tentang zakat.
Pada masa sama, hasil kolaborasi dengan Ikhlas.Com, program turun padang akan turut diadakan bagi menyantuni asnaf terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan selaras dengan usaha kempen iaitu bagi menanam semangat memberi sepanjang Ramadan. – MalaysiaGazette















