KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa siasatan yang dijalankan olehnya dipengaruhi oleh kepentingan peribadi.
Sebaliknya, katanya, semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih
SPRM berkata, suruhanjaya itu mengambil maklum satu laporan yang diterbitkan oleh sebuah media antarabangsa yang mengandungi tohmahan dan dakwaan-dakwaan tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi suruhanjaya ini.
Bagaimanapun, katanya, SPRM tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM dikuatkuasakan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima badan pemantau bebas.
Tambah SPRM, sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan.
Oleh itu, SPRM menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku adalah digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang. – MalaysiaGazette
















