Ahmad Azlan Abu Bakar

KUANTAN – Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang sekali lagi mendesak Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya memberikan penjelasan telus mengenai status terkini projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan (KIA).

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, projek berskala besar yang melibatkan kepentingan awam tidak boleh terus diselubungi ketidakpastian dan rakyat berhak mendapat maklumat yang jelas, telus dan berfakta.

“Merujuk kepada siri kenyataan kami sebelum ini, Pemuda PAS Pahang memandang serius ketidakjelasan berterusan berkaitan status sebenar projek Kuantan International Airport (KIA), khususnya melibatkan model pembiayaan Private Fund Initiative (PFI), komitmen pelabur serta sasaran pengoperasian yang pernah diumumkan sekitar tahun 2026.

“Sehingga kini, ketiadaan penjelasan rasmi yang menyeluruh daripada kerajaan negeri terutama Menteri Besar telah menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan, hala tuju serta daya maju projek strategik ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahmad Azlan, Kerajaan negeri perlu menyatakan secara jelas siapakah pelabur atau konsortium sebenar yang terlibat, struktur pembiayaan yang dipersetujui, serta sama ada komitmen pelaburan tersebut masih kukuh atau telah berubah.

Beliau turut mempersoal tahap sebenar kemajuan projek pada masa ini, sama ada pembangunan projek itu berjalan mengikut jadual asal atau mengalami kelewatan.

“Berdasarkan keadaan semasa pembiayaan dan kemajuan projek, adakah sasaran pengoperasian 2026 seperti yang telah diumumkan pada tahun 2022 masih boleh dicapai? Jika tidak, apakah garis masa baharu yang realistik?

“Apakah bentuk kawal selia dan pemantauan yang dilaksanakan terhadap projek PFI ini bagi memastikan kepentingan negeri dan rakyat tidak terjejas?,” soalnya.

Sumber : Pemuda Pas Pahang

Ahmad Azlan juga mahu Menteri Besar menjelaskan sekiranya komitmen pelabur berubah atau projek tertangguh boleh memberi kesan kepada kos keseluruhan, perancangan ekonomi negeri serta keyakinan pelabur masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast