Bahan buangan terjadual (e-waste) dan buangan plastik lebih 216 tan yang 'tersorok' lebih setahun berjaya dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, hari ini.

KUALA LUMPUR – 10 kontena dari Amerika Syarikat mengandungi bahan buangan terjadual (e-waste) dan buangan plastik lebih 216 tan yang ‘tersorok’ lebih setahun berjaya dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, hari ini.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua kontena itu terbongkar menerusi pemeriksaan fizikal ke atas 15 kontena di tapak pemeriksaan CFS 4 Pelabuhan Klang Barat sekitar jam 9 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak enam kontena mengandungi e-waste manakala empat lagi berisi sisa plastik campuran dengan jumlah keseluruhan berat dagangan adalah 216,726 kilogram (kg).

“Kontena terbabit dikesan masuk ke negara ini seawal Disember 2024 hingga Julai 2025 dan berasal dari New York, Los Angeles, California dan Norfolk, Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara 10 kontena bahan buangan terjadual (e-waste) dan buangan plastik lebih 216 tan yang dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kandungan yang dikesan termasuk server, CPU, pendingin hawa mudah alih terpakai, campuran e-waste dan besi buruk serta sisa plastik campuran.

Tegas Nik Ezanee, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesemua e-waste itu akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan JAS pusat bagi tujuan penghantaran semula ke negara (re-export).

“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang dan memperkukuhkan kawalan serta penguatkuasaan di pintu masuk negara,” jelasnya.

Terdahulu, pemeriksaan dijalankan melibatkan anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan JAS Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast