KUALA LUMPUR – Sebuah banglo mewah tiga tingkat dikesan menjalankan aktiviti tidak bermoral telah diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Operasi Khas di sekitar Persiaran Ritchie, Desa Pahlawan di sini, semalam.
Serbuan sekitar jam 12.27 tengah malam itu turut menahan seorang lelaki warga China dipercayai sebagai ‘dalang utama’.
Timalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan itu dibuat hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.
Tambah beliau, banglo mewah yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral itu dilengkapi pelbagai kelengkapan dengan bilik telah diubahsuai dan dikendalikan oleh seorang lelaki warga China.

“Lelaki itu juga berada di kawasan kediaman mewah bagi mengelakkan aktiviti ini dikesan oleh pihak berkuasa, manakala pekerja lelaki warga China dikenali sebagai ‘salesman’ akan mencari pelanggan menggunakan platform dalam talian.
“Sindiket ini menyasarkan pelanggan warga asing dan tempatan berbangsa Cina sahaja dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM1,000 bagi 45 minit dan RM3,500 bagi 90 minit dan kegiatan ini dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan itu, 11 lelaki dan 19 perempuan warga China, (5) wanita wargan Vietnam, (2) wanita warga Myanmar dan dua (2) wanita warga Jepun telah ditahan.
“Semakan awal mendapati, dalang utama dan satu lelaki warga China memiliki Pas Penggajian yang masih sahlaku, (6) lelaki dan 19 wanita warga China, (2) wanita warga Jepun dan 5 wanita warga Vietnam memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, pasukan operasi telah menyita 29 naskhah pasport China, lima naskhah pasport Vietnam, dua naskhah pasport Jepun dan wang tunai berjumlah RM26,600 yang disyaki hasil kegiatan itu termasuk dua kenderaan jenis Honda Insight serta Tesla Model 3.
Mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan dua lelaki warga Singapura serta warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir pejabat untuk membantu siasatan.
Kesemua tahanan akan disiasat mengikut Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, tambahnya. – MalaysiaGazette
















