KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 18 Jun ini bagi memutuskan semakan kehakiman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar pembekuan dan penyitaan dua akaun bank milik parti itu yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam Chetan Jethwani dan Rosli Dahlan yang mewakili Bersatu dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan.
Terdahulu, Chetan berhujah, permohonan untuk mencabar tindakan SPRM membeku dan menyita dua akaun bank milik Bersatu, boleh dikemuka dan diputuskan melalui tindakan sivil.
Hujah beliau, permohonan itu tidak boleh ditentukan melalui prosiding jenayah seperti yang dihujahkan pihak kerajaan.
Menurut peguam, ini kerana Bersatu selaku sebuah pertubuhan, tidak didakwa di mahkamah di bawah pertuduhan jenayah.
Katanya, wang dalam akaun berkenan bukan milik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya milik parti itu.
Oleh yang demikian, pasukan peguam tidak bersetuju dengan hujahan kerajaan yang menyatakan isu pembekuan dan penyitaan dua akaun bank milik Bersatu, sepatutnya diputuskan melalui permohonan jenayah, bukan dalam prosiding sivil.
Sementara itu, Nurhafizza berhujah, proses pembekuan akaun berkenaan dilakukan secara teratur, sempurna serta berlandaskan undang-undang dan mematuhi kuasa penyiasatan di bawah akta SPRM.
Ujarnya, dalam prosiding jenayah, pertuduhan terhadap Muhyiddian selaku pegawai awam dan kapasitinya sebagai Presiden Bersatu, adalah jelas.
“Kita tidak boleh dakwa Bersatu sebagai sebuah pertubuhan, sebaliknya pendakwaan wajar dilakukan terhadap presidennya.
“Pertuduhan terhadap Muhyiddin selama ini adalah konsisten dan tidak diubah atau dipinda. Beliau didakwa terhadap kesalahan berkaitan salah urus akaun parti itu,” hujah beliau.
Pada 29 Mei 2023, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu, memfailkan semakan kehakiman terhadap pembekuan kedua-dua akaun tersebut.
Dalam semakan kehakiman itu, Muhammad Suhaimi menamakan Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.
Bersatu mendakwa pada 19 April 2023, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta AMLATFPUAA 2001. – MalaysiaGazette















