KUANTAN – Masyarakat digesa membuat aduan ke saluran rasmi iaitu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan bukan hanya melampias kemarahan di laman media sosial sekiranya menyaksikan berlaku kenaikan harga mendadak oleh peniaga.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, penguatkuasa KPDN boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang didapati melanggar undang-undang pencatutan dengan menerima maklumat lengkap daripada aduan yang diterima.
“Boleh mengadu di media sosial, tapi buat juga aduan lengkap kepada pihak berkuasa dengan maklumat lokasi yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ramai pengguna media sosial berhubung kenaikan mendadak harga barangan di segelintir premis perniagaan di negeri ini sejurus pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 9 Februari lepas.
Sim sebelum itu memantau Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru China 2020 di Pasaraya AEON East Coast Mall, di sini hari ini hdiiringi Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pahang, Md Zaki Ab Samad.
“Buat masa ini saya tidak menerima apa-apa laporan atau aduan. Saya minta agar masyarakat dapat menjadi mata dan telinga untuk melaporkan jika terdapat kenaikan harga mendadak dan kita akan ambil tindakan.
“Di Pahang, setakat ini memang tiada laporan diterima,” katanya lagi.

Mengulas mengenai SHMMP yang mula berkuatkuasa hari ini, Sim mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mempamer tanda harga bagi mengelak kekeliruan timbul kepada pengguna.
Jelas Sim, peniaga masih dibenarkan menaikkan harga barangan sekitar RM1 sehingga RM2 mengambil kira penjualan ketika musim perayaan, namun ia perlu dilakukan mengikut undang-undang.
“Tapi perlu paparkan tanda harga. Jangan pula mengenakan caj kepada pengguna contohnya selepas mereka makan tanpa pemberitahuan harga makanan terlebih dahulu.
“Kalau kenaikan harga sehingga mencecah RM10, kita akan ambil tindakan. Pengguna yang berhadapan dengan perkara ini boleh buat laporan. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli di kedai-kedai yang mengenakan caj barangan yang mahal,” katanya lagi.
Sementara itu, Sim berkata bekalan kelapa mencukupi di seluruh negeri pada tahun ini dan tiada isu timbul mengenai bekalan santan menjelang bulan ramadan tidak lama lagi.
“Tiada kekurangan bekalan tahun ini. Memang cukup dan jangan risau,” katanya lagi.
Sebagai rekod, pelaksanaan skim SHMMP selama sembilan hari bermula hari ini melibatkan tempoh empat hari sebelum perayaan sehingga empat hari selepas Tahun Baharu Cina yang disambut pada 17 Februari.
Pelaksanaannya membabitkan 15 jenis barangan keperluan utama yang dikawal di Semenanjung termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih China, kobis bulat import, lobak merah dan putih, ubi kentang China, halia tua import, serta daging dan perut babi, selain kawalan babi hidup di peringkat ladang. – MalaysiaGazette
















