KUALA LUMPUR — Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digantung serta-merta sementara siasatan dijalankan.
Dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial, beliau menegaskan desakan supaya siasatan bebas dijalankan bukan isu baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak 2022 tanpa penyelesaian tuntas.
“Saya dah gesak untuk satu badan bebas ditubuhkan untuk siasat Azam Baki,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa bantahan awam pernah digerakkan melalui himpunan jalanan, malah disertai pelbagai pihak politik ketika itu, sebagai bukti isu berkenaan mendapat perhatian meluas.
“Himpunan Tangkap Azam Baki pun dah dibuat daripada Januari 2022. Kawan kawan PH pun ada bersama,” katanya lagi.
Amira seterusnya mendakwa Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus melindungi Azam, sekali gus menjejaskan kredibiliti pentadbiran dalam agenda memerangi rasuah.
Malah katanya, disebab aktiviti melindungi Azam Baki, kerajaan Madani hari ini dilihat sudah hilang kredibiliti untuk bercakap mengenai melawan rasuah.
“PMX sendiri tak habis-habis lindungi Azam Baki. Hipokrit dan memalukan,” katanya lagi.
Beliau juga mempersoalkan tindakan membenarkan individu yang disiasat terus memegang jawatan penting, menyifatkannya sebagai bercanggah dengan prinsip akauntabiliti.
“Paling tak masuk akal bila nak siasat Azam Baki sambil beri lagi dia ruang menjalankan tugas sebagai Pesuruhjaya SPRM. Saya tuntut Azam Baki digantung serta merta sementara siasatan dijalankan,” katanya.
Dalam nada lebih keras, Amira turut menggesa siasatan diperluaskan kepada pihak yang mempertahankan Azam, termasuk kepimpinan tertinggi kerajaan.
“Alang-alang siasat sekali semua yang pertahankan Azam Baki termasuk PMX,” kata.
Awal hari ini, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli lantang mendesak agar kerajaan menggantung tugas Azam Baki dan menyegerakan siasatan bebas serta telus ke atas beliau berkait dakwaan pemilikan saham.
Siasatan juga digesa dibuat berhubung dakwaan pimpinan suruhanjaya itu bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing korporat dan mengatur pengambilalihan syarikat.
Pada Khamis, satu laporan oleh Bloomberg mendakwa SPRM termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.
Sebelum itu, portal berita itu turut melaporkan Azam didakwa mempunyai pemilikan saham bernilai jutaan ringgit yang mana perkara itu juga tular dan menjadi bualan hangat ketika ini. – MalaysiaGazette
















