Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa bersikap tegas, konsisten dan bertindak tanpa kompromi dalam soal integriti Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, beliau kesal dengan kenyataan yang dibuat Anwar seolah-olah mempertahankan ketua badan anti-rasuah tersebut.

“Kenyataan YAB Perdana Menteri yang mempertahankan Tan Sri Azam Baki dengan ungkapan, “Baca penjelasan Azam Baki. Dia buat kerja, buat apa maki dia”, amat dikesali.

“Dalam soal integriti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Perdana Menteri hendaklah bersikap tegas, konsisten dan bertindak tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas menambah, aspek integriti amat penting bagi agensi seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Peguam Negara kerana ia merupakan tonggak kepercayaan negara.

Katanya, integriti institusi pengawal ‘sendiri’ negara, mesti dijunjung pada tahap tertinggi.

“Persoalannya di sini, mengapa Tan Sri Azam Baki dilihat ‘kebal’ di bawah pentadbiran Madani?,” soalnya.

Syahir turut mencadangkan agar Azam direhatkan sementara siasatan dijalankan secara telus, selain notis pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 diserahkan serta Ketua Setiausaha Negara memberi penjelasan berhubung pematuhan pekeliling berkaitan pemilikan saham dan potensi konflik kepentingan.

Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam yang dilaporkan memegang sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Fahmi tidak memperincikan sebarang tindakan yang dikenakan terhadap Azam yang kini berdepan kontroversi berkaitan pegangan saham dalam dua syarikat.

Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan itu dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan pada Isnin.

Sementara itu, Azam dalam kenyataan rasmi pada Jumaat menegaskan beliau bersedia dan terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham berkenaan.

Beliau turut menegaskan tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan memaklumkan bahawa semua pengisytiharan kewangan serta harta miliknya telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast