BALIK PULAU – Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan khianat dengan membakar lapan kenderaan serta langsir sebuah rumah pada Januari lalu.
Tertuduh, Nor Ahmad Murni Abdul Hamid, 36, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar langsir di sebuah kediaman di Medan Bayan Residensi Tunas Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini, sehingga menyebabkan kerosakan pada harta milik seorang lelaki berusia 51 tahun pada jam 6.50 petang, 24 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan membakar lima kereta dan tiga motosikal di parkir Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas antara jam 4.45 pagi hingga 5.15 pagi pada 27 Januari lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong dan tiada peguam mewakili tertuduh.
Semasa prosiding Jin Hong mencadangkan jaminan keseluruhan sebanyak RM92,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang menganggu mangsa.
Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan minimum dengan alasan bekerja sebagai pemandu van berpendapatan RM1,800 sebulan serta perlu menyara tiga anak selepas kematian isterinya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM40,000 serta syarat tambahan yang dimohon timbalan pendakwa raya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Mac depan.
ARTIKEL BERKAITAN
Khianat punca 9 kenderaan terbakar di Kondominium Tunas Residensi – Polis
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan tiga individu ditahan membantu siasatan khianat dengan api susulan kes kebakaran sembilan kenderaan di sebuah kondominium pada 27 Januari lalu.
Antara kereta yang musnah dalam kejadian itu termasuk sebuah Perodua Bezza yang baru dibeli pemilik kurang tempoh 24 jam. – MalaysiaGazette















