KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan suspek yang ditahan susulan penemuan seorang mayat wanita gelandangan di Jalan Sentul di sini, pada Selasa lalu disahkan tidak siuman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 46 tahun itu masih ditahan reman enam hari bermula 10 Februari sehingga 15 Februari ini.
“Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian akibat hentakan objek tumpul hingga mendatangkan kecederaan di kepala.
“Setakat ini, seramai sembilan saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya pada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 25 Sempena Tahun Baru Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur, di Pavilion KL, Bukit Bintang.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki ditahan susulan penemuan mayat wanita yang juga gelandangan berusia 50 hingga 60-an, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahar dilaporkan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut secara terperinci untuk mengenal pasti motif kejadian dan hubungan antara mangsa serta suspek.
Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















