MyKiosk Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kegagalan pelaksanaan projek MyKiosk disifatkan berpunca daripada budaya kerja “buat dulu, kaji kemudian” dalam pentadbiran Kerajaan Madani.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff mendakwa, pendekatan itu terserlah sejak awal pendedahan isu tersebut, sambil mengimbau tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menghantar dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Masa mula-mula isu mykiosk didedahkan, aku ingat lagi betapa angkuhnya Nga Kor Ming hantar dokumen ke SPRM.

“Hari ni SPRM bentangkan syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT berhubung pengurusan dan pelaksanaan projek MyKiosk.

“Walaupun SPRM kata takde ketirisan, tetapi kelemahan pengurusan yang disebut oleh SPRM jelas menunjukkan Nga Kor Ming gagal mentadbir kementerian dia dengan baik dan menyebabkan projek bernilai RM150 juta ini tidak memberikan hasil yang dikehendaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Semalam, SPRM mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola pada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung pengurusan dan pelaksanaan projek MyKiosk.

Cadangan itu merangkumi pelaksanaan kajian keperluan menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, meningkatkan keberhasilan projek alam pertunjuk prestasi Utama (KPI), menubuhkan unit pemantauan dan jawatan kuasa khas bagi menilai keberkesanan dan pencapaian projek.

“Projek MyKiosk merupakan satu daripada projek gajah putih dan tidak mencapai objektif kerajaan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat daripada penempatan MyKiosk yang tidak sesuai,” kata SPRM.

Nurul Islam berkata, syor penambahbaikan tatakelola yang dibentangkan SPRM menguatkan persoalan terhadap keupayaan pentadbiran kementerian, walaupun agensi itu menegaskan tiada ketirisan berlaku.

“Kelemahan pengurusan yang disebut oleh SPRM jelas menunjukkan Nga Kor Ming gagal mentadbir kementerian dia dengan baik dan menyebabkan projek bernilai RM150 juta ini tidak memberikan hasil yang dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata, projek itu melibatkan peruntukan awam besar termasuk RM50 juta bagi MyKiosk 1.0 pada 2023 dan RM100 juta bagi MyKiosk 2.0 pada 2024.

“Projek MyKiosk ni melibatkan peruntukan awam yang sangat besar. Ini bukan angka kecil, ini adalah wang rakyat yang sepatutnya diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya lagi.

Mengulas cadangan kajian keperluan lokasi, beliau berkata perkara itu telah lama dibangkitkan.

“Kajian keperluan ni merujuk kepada kajian nak tentukan keperluan mykiosk diletakkan disatu satu lokasi. Inilah dibangkitkan oleh rakyat dan pembangkang.

“Kenapa lambakkan mykiosk kat kawasan yang tak strategik? Hanya sebab nak banyakkan mykiosk? Eh duit rakyat yang terbazir bukan duit Nga Kor Ming,” soalnya.

Beliau menegaskan, kelemahan pemilihan lokasi serta pemantauan berpotensi menyebabkan projek itu tidak berfungsi seperti dirancang.

“Bila kau lambakkan MyKiosk kat tempat tak strategik, kemudian tiada pemantauan, maka jadilah projek gajah putih.

“Eh Nga Kor Ming, sepatutnya ini yang KPKT kena buat dulu. Sebelum lambakkan mykiosk kat sesuatu tempat. Memang style Kerajaan Madani buat dulu kaji kemudian eh? Kesian rakyat. Sampai bila rakyat kena tanggung incompetence Kerajaan Madani?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast