JOHOR BAHRU – Penyebaran wabak tuberkulosis (tibi) yang di negeri ini melibatkan Kota Tinggi dan Pontian sejak awal bulan ini masih lagi terkawal.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon meminta penduduk Johor supaya tidak panik dan Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memantau penularan wabak berkenaan serta mengambil langkah bersesuaian dari semasa ke semasa.
“Antara langkah yang dilakukan adalah memanggil kontak rapat dengan pesakit menghidapi tibi untuk membuat saringan.
“Saya bagi nasihat supaya tidak panik sangat. Memang tibi adalah sejenis bakteria, sakit yang sudah kian lama dan KKM tahu bagaimana mahu menanganinya termasuk rawatan.
“Apa yang penting mereka mengikut arahan, mengambil ubat seperti dinasihatkan bagi memastikan ia sembuh,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan hukuman PKM di Taman Stulang Laut, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Abidin.
Beliau berkata, hampir setiap tahun terdapat kes baharu di Johor cuma di Kota Tinggi merebak dalam kalangan mereka yang berdekatan dengan kes terbabit.
“Oleh itu ia menjadi satu tumpuan. Walaupun saringan tidak positif, kementerian akan membuat susulan selama dua tahun terhadap kontak rapat untuk benar-benar memastikan mereka bebas daripada jangkitan tibi.
“Kementerian juga memiliki prosedur operasi standard yang lengkap bagi tibi,” katanya.
Beliau berkata, sama ada kluster di Kota Tinggi berpunca daripada pekerja asing atau tidak, perkara itu sukar dikenal pasti.
Jangkitan tibi di Kota Tinggi mencatatkan seramai 33 individu dengan jumlah saringan terhadap 804 kontak rapat manakala jangkitan di Pontian membabitkan seorang pesakit.
Jumlah kes positif tibi masih 33 di Kota Tinggi dan satu di Pontian sehingga kini.
Sementara tiga daripada tujuh pelajar yang dijangkiti di negeri ini pulih dan sedang menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan ke sekolah. – MalaysiaGazette
















