KUALA LUMPUR – Akaun rasmi Facebook Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat menukar gambar latar dengan paparan yang mendesak Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada kepemimpinan parti.
Menerusi akaun berkenaan, gambar Muhyiddin dimuat naik bersama perkataan ‘Undur Muhyiddin’ yang ditukar malam tadi , selain status berbunyi ‘Masanya sudah tiba’ yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Setakat ini tiada penjelasan lanjut dikeluarkan berhubung perubahan pada paparan terbabit.
Difahamkan, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dijadual berlangsung di kediaman presiden parti itu pada 10 pagi ini.
Krisis dalaman parti itu semakin memuncak apabila 17 ahli parti dipecat oleh Lembaga Disiplin (LD) setakat semalam, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ia termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat keahlian parti itu serta-merta.
LD Bersatu memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai tarikh surat itu dikeluarkan (hari ini) kerana tindakan beliau yang melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu. – MalaysiaGazette
















