Aktiviti yang dijalankan oleh mahasiswa UMT dalam Program Kesedaran Marin Waste To Eco Vibe.

Pulau Pangkor – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan Program Kesedaran Marin Waste To Eco Vibe, iaitu inisiatif program yang memberi fokus kepada pengurusan sisa plastik secara kreatif dan mampan melalui konsep
ecobrick.

Inovasi ecobrick membolehkan sisa plastik diubah menjadi bahan binaan mesra alam seperti kerusi, pasu dan meja, sekali gus mengurangkan jumlah plastik yang berakhir di tapak pelupusan, pesisir pantai dan laut.

Program yang dikelolai oleh Kelab Gabungan Sukarelawan Siswa, Sustainable Ocean Alliance (SOA) UMT dan Young Conservationist Club (YCC) UMT ini dilaksanakan untuk memupuk kesedaran alam sekitar terutamanya lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong luar.

Aktiviti yang melibatkan peserta Sekolah Kebangsaan Seri Pangkor dan komuniti sekitar kawasan pulau pangkor iini diadakan bersempena Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor, Perak, yang dihadiri oleh Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Menurut Sharanya a/p K Rajanthiran, pelajar Sarjana Muda Biologi Marin merangkap wakil Sustainable Ocean Alliance (SOA) UMT, program seperti ini memberi impak besar terhadap kesedaran komuniti terhadap hubungan langsung antara sisa plastik dan kesihatan ekosistem marin.

Langkah ini selaras dengan situasi semasa di Malaysia, yang mana lebih 76.4% sisa plastik tidak diurus dengan betul, menjadikannya berisiko tinggi memasuki laut dan memberi kesan negatif kepada hidupan marin.

Program Marin Waste To Eco Vibe diharap dapat memperkukuh kesedaran masyarakat tentang pengurusan sisa pepejal dan melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast