Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan memeriksa penumpang pada Operasi Tahun Baru Cina 2026 JPJ Negeri Selangor di Terminal 17, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 13 FEBRUARI 2026

SHAH ALAM – Terlupa dan masih tidak tahu kewajipan memakai tali pinggang keledar antara alasan diberikan penumpang bas yang didapati melanggar peraturan keselamatan sepanjang penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, tahun lalu.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, berdasarkan statistik, seramai 30 penumpang telah dikenakan kompaun kerana gagal memakai tali pinggang keledar ketika kenderaan sedang bergerak.

“Majoriti penumpang yang dikesan melakukan kesalahan itu memberi alasan terlupa atau tidak tahu peraturan ini dikuatkuasakan.

“Namun, ia bukan alasan yang boleh diterima kerana pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib demi keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan memeriksa kondisi sebuah bas ekspres pada Operasi Tahun Baru Cina 2026 JPJ Negeri Selangor di Terminal 17, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 13 FEBRUARI 2026

Ujarnya, kegagalan memakai tali pinggang keledar melanggar Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM300 bagi setiap kesalahan.

Mengulas lanjut katanya, JPJ Selangor turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang dalam bas termasuk pada waktu malam bagi mengesan kesalahan secara lebih berkesan.

“Operasi ini turut dijalankan dengan sekatan jalan raya di lokasi tertentu bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya berada pada tahap tinggi,” katanya lagi.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan bercakap ketika sidang media pada Operasi Tahun Baru Cina 2026 JPJ Negeri Selangor di Terminal 17, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 13 FEBRUARI 2026

Sehubungan itu beliau mengingatkan, pengusaha bas supaya sentiasa memastikan penumpang mematuhi arahan keselamatan terutama memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.

“Langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast