KUALA LUMPUR – Penubuhan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disifatkan tidak memadai.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Semambu, Chan Chun Kuang berkata, kerajaan perlu menggantung tugas Azam serta-merta dan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pegawai-pegawai SPRM yang terbabit.
Menurut beliau, tiada pihak yang boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang demi memastikan integriti institusi itu terus terpelihara.
Tegas beliau, SPRM sepatutnya menjadi institusi yang bebas, berintegriti dan dipercayai, bukannya terpalit dengan kontroversi yang menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Sebarang keraguan terhadap ketelusan dan profesionalisme badan ini memberi kesan langsung kepada keberkesanan usaha negara dalam membanteras rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Chun Kuang turut mendesak agenda reformasi menyeluruh terhadap SPRM dilaksanakan segera bagi memperkukuh integriti institusi itu dan mengembalikan kepercayaan awam yang semakin terhakis.
Selain itu, ujarnya, kerajaan perlu segera meletakkan SPRM sepenuhnya di bawah Parlimen bagi menjamin kebebasan institusi.
“Struktur pelaporan kepada Parlimen akan memastikan akauntabiliti yang lebih kukuh, di samping mengelakkan sebarang pengaruh politik daripada cabang eksekutif,” katanya.
Ujar beliau, pemulihan keyakinan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah memerlukan keberanian politik dan komitmen reformasi yang nyata.
“Kerajaan mesti bertindak sekarang demi memastikan Malaysia terus bergerak ke arah tadbir urus yang bersih, telus dan berintegriti,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan bagi meneliti isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam.
Terdahulu, media antarabangsa, Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat. – MalaysiaGazette

















Gantung tugas? Gua tanya lu lu siapa?