KUALA LUMPUR – Surat terbuka Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang seolah-olah menyalahkan ahli-ahli parti itu dalam kemelut politik di Perlis disifatkan menimbulkan kehairanan dan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia kerana ia seolah-olah memperlihatkan kepimpinan Pas cenderung menyalahkan pengikut dan ahli sendiri berbanding mengambil tanggungjawab atas kemelut yang berlaku.
Sedangkan, menurut beliau, dalam mana-mana organisasi lebih-lebih lagi yang membawa nama Islam, tanggungjawab utama terhadap kestabilan jemaah terletak pada kepimpinan, bukan semata-mata pada ahli.
“Jika benar krisis Perlis hanya berpunca daripada ahli yang tidak taat, ia sepatutnya dapat diselesaikan melalui proses dalaman parti tanpa mengorbankan kerajaan negeri.
“Hakikat bahawa Menteri Besar terpaksa berundur dan kerajaan bertukar tangan menunjukkan masalah yang lebih mendasar daripada sekadar disiplin ahli,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Mahfuz berkata, meskipun Islam mengajar ketaatan kepada pemimpin tetapi Islam juga meletakkan pemimpin sebagai pihak pertama yang dipertanggungjawabkan apabila berlaku kegagalan.
Ujarnya, prinsip `setiap kamu pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan terhadap yang dipimpin’ tidak boleh dikecualikan hanya kerana memegang jawatan parti.
Tambah beliau, menjadikan perbezaan pandangan sebagai isu tidak wala’ (taat atau patuh) berisiko menutup ruang nasihat.
“Apabila teguran dianggap kesalahan, akhirnya ahli bukan lagi rakan memperbaiki organisasi, tetapi hanya diminta menjadi pengikut yang diam.
“Keadaan ini tidak menguatkan jemaah, sebaliknya melemahkan kemampuan parti menghadapi realiti pemerintahan,” katanya.
Tambah Mahfuz, parti yang matang sepatutnya berani melakukan muhasabah terbuka kerana mengakui kelemahan kepimpinan bukan menjatuhkan maruah, bahkan tanda kekuatan dan kejujuran.
Sebaliknya, ujar beliau, meletakkan kesalahan kepada ahli tanpa penilaian menyeluruh hanya akan menimbulkan persepsi bahawa ego kepimpinan mengatasi keperluan pembaikan.
“Rakyat dan ahli parti berhak kepada penjelasan yang lebih jujur.
“Menyalahkan pengikut mungkin mudah, tetapi memperbaiki kepimpinan adalah tanggungjawab yang sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette
















