KUALA LUMPUR – Yayasan PEKEMA terus komited menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kasih Ramadan yang bertujuan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah menjelang kedatangan bulan Ramadan.
Menerusi program itu di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 1,000 keluarga berpendapatan rendah dari sekitar Selayang dipilih sebagai penerima manfaat dalam program yang berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang hari ini.
Naib Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Raja Petra Marudin Raja Nordin berkata, selain menyambut Ramadan, program juga dianjurkan sebagai platform memperkukuhkan budaya kebajikan dalam kalangan warga industri automotif Bumiputera.

“Kami amat menyedari bahawa cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat memberi kesan besar kepada masyarakat, terutamanya golongan B40, asnaf, warga emas serta keluarga berpendapatan rendah di sekitar Selayang.
“Justeru, sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian dan sedikit sebanyak menceriakan persiapan menyambut Ramadan penduduk terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program itu turut dianjurkan Yayasan PEKEMA bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dun Taman Templer dan Jawatankuasa Penduduk Zon 10 MPS.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Masyarakat Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari dan Ahhli Majlis Zon 10 MPS, Ahmad Zahiri Zahid Sofian.
Sementara itu, Raja Petra Marudin berkata, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah amat menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan serta kesejahteraan masyarakat.
“Saya berharap agar bantuan yang disalurkan hari ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi material, malah menjadi simbol sokongan moral bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan,” tambah beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahiri berkata, kerjasama antara Yayasan PEKEMA dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Zon 10 MPS itu menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi keutamaan.
“Sebagai Ahli Majlis Zon 10, saya komited untuk memastikan program-program seperti ini terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Kerjasama dengan Yayasan PEKEMA membolehkan bantuan kebajikan sampai kepada golongan yang memerlukan, terutamanya keluarga B40,” katanya.
Program Kasih Ramadan merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PEKEMA dalam memberi manfaat kepada 1,000 keluarga B40 dalam bentuk agihan bakul makanan.
Ia sekali gus menyuntik semangat dan keyakinan kepada para ibu bapa serta penjaga dalam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan. – MalaysiaGazette
















