SEKINCHAN – Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta Proton Satria yang dipandunya ditimpa sebatang pokok tumbang di Jalan Terusan Utama Sekinchan malam semalam.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira 9.57 malam.
“Sepasukan tujuh anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan digerakkan ke lokasi kejadian selepas 11 minit panggil diterima.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Wan Che Ahmad mendapati terdapat sebatang pokok ara telah tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Proton Satria,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menemukan seorang lelaki berumur 28 tahun dan berjaya menyelamat dan mengeluarkan diri daripada kenderaan terbabit kira-kira 10.37 malam.
“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















