Setiausaha Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Dr Zaini Abu.

JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disaran supaya segera mengadakan rundingan meja bulat melibatkan semua pihak berkepentingan bagi meredakan krisis kepimpinan yang disifatkan semakin kritikal.

Setiausaha Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Dr Zaini Abu berkata, kemelut dalaman Bersatu ketika ini tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi melemahkan parti yang pernah menjadi antara tonggak politik Melayu.

“Keadaan parti itu kini ibarat ‘menunggu masa untuk roboh’ sekiranya tiada usaha menyeluruh bagi menyatukan kembali barisan kepimpinan serta ahli di semua peringkat.

“Bersatu mempunyai ramai ahli veteran yang kaya dengan pengalaman politik. Mereka telah melalui pelbagai fasa getir dalam arena politik negara. Amat rugi sekiranya pengalaman dan kebijaksanaan mereka tidak dimanfaatkan untuk menyelamatkan parti,” katanya.

Zaini berkata demikian ketika ditemui pada majlis sesi penerangan isu pajakan 99 tahun Tanah Rizab Melayu di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini baru-baru ini.

Beliau mencadangkan agar satu mekanisme orang tengah diwujudkan sebagai pendamai antara kem-kem yang bertelagah.

Dalam hal itu, Zaini berpendapat, pandangan negarawan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad wajar dipertimbangkan dalam usaha mencari titik persamaan dan penyelesaian terbaik.

“Kita perlukan tokoh yang dihormati semua pihak. Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai negarawan politik mungkin boleh memberikan nasihat dan pandangan demi kestabilan parti,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan Bersatu merupakan parti yang mewakili suara orang Melayu dan pernah muncul sebagai antara kekuatan politik paling dominan dalam negara.

“Bersatu ini sebuah parti yang mewakili orang Melayu dan pernah menjadi antara yang terkuat. Justeru, krisis ini perlu ditangani secara matang, berhemah dan penuh hikmah,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan agar ahli-ahli yang dikenakan tindakan pemecatan supaya berjiwa besar dan bersedia bertolak ansur demi kepentingan Melayu, negara serta umat Islam secara keseluruhannya.

“Dalam politik, perbezaan pendapat adalah perkara biasa. Namun demi Melayu dan negara, semua pihak perlu berlapang dada. Penyatuan amat penting bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara,” tegasnya.

Tambah beliau, walau apa pun pergolakan yang berlaku, Bersatu diyakini tetap berperanan dalam pembentukan jajaran politik baharu pada masa hadapan.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat dan 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama setelah didapati melanggar Perlembagaan Bersatu.

Pemecatan itu dimaklumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu notis makluman bertarikh 13 Februari 2026.

Berdasarkan senarai penuh yang dikongsikan, selain Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, tiga ahli Parlimen lain serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri turut dipecat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast