GEORGE TOWN – Dakwaan bahasa dasar ‘Masuk Darjah Satu pada usia enam Tahun’ mendapat sokongan pengusaha prasekolah adalah mengelirukan.
Menurut Naib Pengerusi Jawatankuasa Persediaan dan Pemerhati Pilihan Raya MCA Pulau Pinang, Chan Wooi Jin, kehadiran pengusaha prasekolah ke mesyuarat tidak boleh dianggap sebagai tanda persetujuan terhadap dasar berkenaan.
“Sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) menganggap kehadiran pengusaha prasekolah sebagai sokongan rasmi, tindakan itu bukan sahaja memutarbelitkan konsep, malah boleh mengelirukan masyarakat.
“Perkara itu turut merujuk kenyataan Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang yang dilaporkan membantah kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana didakwa bercanggah dengan fakta sebenar.
“Malah, jika dasar ini dilaksanakan secara tergesa-gesa, ia akan memberi kesan negatif kepada sistem prasekolah sedia ada,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Tambah beliau, kerajaan perlu melakukan kajian yang lebih komprehensif dan mengadakan dialog, bukannya menipu diri sendiri dan berasa selesa dengan menganggap kehadiran pengusaha ke mesyuarat sebagai sokongan terhadap dasar.
“Pembaharuan hanya akan mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat sekiranya maklumat yang dikongsi telus dan persiapan yang dilakukan rapi.
“Sebarang perubahan dasar pendidikan perlu meletakkan kebajikan pelajar sebagai teras utama serta disokong data kajian, matlamat dasar yang jelas, program perintis dan penilaian kesan terhadap pelajar di bandar serta luar bandar, selain menyeru kementerian mengambil kira keadaan sebenar di peringkat akar umbi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi membincangkan strategi pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke tahun satu bermula pada 2027, selaras dengan pelaksanaan kurikulum baharu persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas pengusaha tadika bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar dan tersusun. – MalaysiaGazette
















