GEORGE TOWN – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu menegaskan tiada mana-mana jawatankuasa bahagian mempunyai hak untuk mengumumkan pembubaran bahagian, walaupun berlaku peletakan jawatan dalam kalangan ahlinya.
Ketua penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membenarkan jawatankuasa Bahagian mengumumkan pembubaran.
“Sejak kebelakangan ini kita melihat perkembangan beberapa Jawatankuasa Bahagian mengumumkan bahagian masing-masing telah terbubar susulan tindakan meletakkan jawatan.
“Perkara tersebut adalah dalam bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Srikandi Bersatu Bukit Gelugor pula bubar jawatankuasa, keluar parti
Tambah beliau, badan perhubungan negeri juga tidak mempunyai hak untuk mengumumkan atau mengesahkan pembubaran Bahagian dalam negeri dan undang-undang yang sama terpakai kepada sayap parti.
“Menjadi ahli, memegang atau meletakkan jawatan adalah hak individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
“Bagaimanapun untuk mengumumkan pembubaran Bahagian, Jawatankuasa atau individu termasuk Ketua Bahagian tidak mempunyai hak sama sekali.
“Sehubungan itu, kita menyarankan pihak media supaya menunggu pengumuman Setiausaha Agung berkenaan status Bahagian dan tidak melaporkan mengenai pembubaran sebelum ia diputuskan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi namun tidak ada masalah untuk melaporkan tentang peletakan jawatan kerana itu adalah hak masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette















