Nor Azah (tengah) umum pembubaran jawatankuasa srikandi Bersatu Bukit Gelugor serta keluar parti serta-merta.

GEORGE TOWN – Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor mengumumkan pembubaran jawatankuasa sayap wanita itu dan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Srikandinya, Nor Azah Abdul Aziz berkata, ketetapan berkenaan dibuat selepas mengambilkira pandangan serta pendirian majoriti barisan kepimpinan dan ahli di peringkat bahagian yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap hala tuju serta kepimpinan parti ketika ini.

“Perkembangan mutakhir (terkini) parti termasuk beberapa tindakan disiplin dan pemecatan pimpinan turut menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli di akar umbi.

“Sehubungan itu, barisan Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor secara sebulat suara memutuskan untuk membubarkan jawatankuasa bahagian, meletakkan semua jawatan dalam parti dan keluar daripada keanggotaan parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Azah yang juga Naib Ketua Srikandi Bersatu Pulau Pinang menjelaskan, keputusan tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya selepas melalui proses perbincangan dan penelitian menyeluruh demi memastikan kebajikan serta perjuangan ahli terus terpelihara.

“Kami merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas peluang dan ruang yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Srikandi Bersatu Bahagian Bukit Gelugor akan terus berkhidmat kepada masyarakat, khususnya wanita dan rakyat di sini melalui pendekatan serta platform yang akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kepala Batas dan Tanjong dilaporkan dibubarkan menerusi mesyuarat khas yang diadakan.

Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, keputusan tersebut dicapai secara bersama oleh kepimpinan kedua-dua bahagian selepas menilai kedudukan semasa parti di peringkat pusat.

Sebelum ini, Bersatu mengumumkan pemecatan 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) membabitkan empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Antara yang dipecat ialah Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan serta Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob.

Pemecatan tersebut dibuat atas alasan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, namun mereka diberi ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat pemakluman dikemukakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast