JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut tersepit dalam kemalangan dua kenderaan di bawah jambatan Lebuh Raya Skudai menghala ke Senai dekat sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I, Kamaruzzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 2.43 pagi.
Susulan itu katanya, 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah lori. Insiden itu mengakibatkan pemandu kereta tersepit di tempat duduk pemandu.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas penyelamatan sehingga mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa, Muhammad Aidil Adli Zahari yang berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul 3.51 pagi.- MalaysiaGazette
















