HULU SELANGOR – Seorang pemandu lori sebuah syarikat roti tersepit dalam nahas dengan sebuah lori kontena di Kilometer 441 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 8.52 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 14 anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang digerakkan dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 17 minit kemudian.

“Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Khasyaff Che Hashim mengesahkan insiden itu dan menemukan seorang lelaki berusia 33 tahun tersepit di bahagian pemandu lori lima tan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Mukhlis, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari lori dengan muatan roti itu di lokasi kejadian.
“Pemandu lori lima tan tersebut selamat dan mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















