Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar Negeri bersedia untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada Muhammad Faiq Mohd Jailani, rakyat Malaysia yang kini dalam tahanan Balai Polis Toyama Minami.

Bantuan itu termasuk memudahcara komunikasi serta memastikan kebajikan beliau, tertakluk kepada persetujuan beliau dan selaras dengan undang-undang Jepun.

Kementerian itu berkata, Muhamad Faiq dilaporkan hilang di Jepun sejak 2 Disember 2025, serentak itu Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah mengambil langkah segera mengesan keberadaannya.

Malah, kementerian turut mengesahkan status beliau sejurus menerima laporan mengenai kehilangannya, termasuk mengadakan perhubungan secara langsung dengan Kementerian Luar Negeri Jepun dan pihak berkuasa penguatkuasaan tempatan.

“Usaha-usaha tersebut telah dilaksanakan sebelum dan juga selepas laporan media tempatan bertarikh 23 Januari 2026 mengenai status Muhammad Faiq,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai penahanan individu itu, kementerian berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Jepun mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undangnya dalam sempadannya.

Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963, yang turut ditandatangani oleh Jepun, pemberitahuan kepada kedutaan asing mengenai penahanan seseorang individu bukanlah dibuat secara automatik; ia merupakan hak yang dilaksanakan atas permintaan individu yang ditahan.

Selain itu, pihak berkuasa Jepun adalah tertakluk kepada Akta Perlindungan Maklumat Peribadi.

Undang-undang ini mengklasifikasikan status penahanan sebagai maklumat peribadi yang tidak boleh didedahkan kepada pihak
ketiga, termasuk perwakilan diplomatik, tanpa persetujuan jelas individu berkenaan, jelas Kementerian Luar Negeri.

Kementerian turut menegaskan kedutaan tidak boleh campur tangan dalam prosiding kehakiman sesebuah negara berdaulat atau menuntut pembebasan seseorang tahanan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Negeri kekal komited sepenuhnya terhadap kebajikan warganegara Malaysia di luar negara.

“Kementerian ini, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, juga terus memantau situasi ini dengan rapi,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, kementerian mengingatkan rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di luar negara supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan negara tuan rumah.

Baru-baru ini media melaporkan Muhammad Faiq yang sebelum ini dilaporkan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Jepun kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan kes penipuan di mahkamah negara itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim menjelaskan kes menjadi rumit kerana pemuda itu dipercayai tidak faham apa yang yang berlaku berikutan jurang bahasa kesemua pihak terbabit.

Menurutnya, pemuda dari Manir, Terengganu itu bukan sahaja tidak pandai berbahasa Jepun, malah pihak berkuasa dan peguam yang disediakan bagi pembelaan juga tidak mampu bertutur bahasa Inggeris dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast