Setiausaha Agung Siswa Bersatu Malaysia, Wan Amir Hakim Wan Mohd Asdi

KUALA LUMPUR – Pendedahan mengenai pemilikan 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menimbulkan persoalan besar terhadap aspek pematuhan tata kelola dan integriti dalam kalangan pegawai tertinggi penguat kuasa undang-undang negara.

Setiausaha Agung Siswa Bersatu Malaysia, Wan Amir Hakim Wan Mohd Asdi berkata, pendedahan itu turut mencetuskan kegusaran serius serta defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, isu tersebut telah melanggar Pekeliling Pengurusan Tatatertib dan Kelakuan Pegawai Awam 2024 yang menetapkan larangan kepada penjawat awam memiliki lebih 5.0 peratus daripada modal berbayar atau pegangan saham bernilai melebihi RM100,000 berdasarkan nilai semasa.

“Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilihat mempertahankan situasi berkenaan atas alasan Ketua Pesuruhjaya menjalankan tugas dengan baik turut mengundang kekecewaan.

“Siswa Bersatu menyifatkan pendirian tersebut bercanggah dengan semangat reformasi serta prinsip tata kelola baik yang sekian lama diperjuangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai institusi yang memikul amanah membanteras rasuah dan salah guna kuasa, SPRM sepatutnya tidak boleh dipimpin oleh individu yang terpalit dengan keraguan integriti.

“Pemilikan aset dalam jumlah besar oleh penjawat awam kanan menimbulkan persoalan mengenai sumber dana serta potensi kaitan dengan kedudukan yang disandang.

“Kepercayaan terhadap proses penguatkuasaan undang-undang akan terjejas sekiranya penguat kuasa gagal memberikan penjelasan yang jelas dan meyakinkan,” ujarnya.

Katanya lagi, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM menuntut tahap integriti tertinggi tanpa sebarang unsur kompromi terhadap kepentingan awam.

Sehubungan itu tegasnya, Siswa Bersatu mendesak agar Azam meletakkan jawatan serta-merta bagi membolehkan siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh.

Siswa Bersatu juga menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat dakwaan tersebut secara telus demi memulihkan imej dan kredibiliti SPRM.

“Jangan biarkan integriti negara tergadai demi kepentingan individu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast